Isnin, 25 Mei 2009

Saat Terkorbannya Tudung Labuh




"Su, kawin nanti nak pakai baju apa?Dah rancang ke dengan Hilmi?"ibu bertanya kepada Suhana. Su ialah panggilan manja bagi Suhana. Hanya keluarga dan sahabat karibnya sahaja yang dibenarkan dengan paggilan itu. Orang lain mesti memanggilnya Suhana. Itu prinsipnya. Apatah lagi yang bergelar muslimin. Haram sama sekali. Suhana memang bertegas tentang perkara itu. "Sudah mak, kami bercadang nak pakai biasa-biasa saje. Su nak pakai jubah dengan tudung ni"balas Su dengan menunjukkan kepada ibunya sehelai tudung labuh berwarna keemasan. Ibunya tersenyum lalu meninggalkan Su sendirian.

Hari masih pagi, Suhana leka menjahit sebahagian lagi tirai rumahnya yang belum siap. Tirai itu akan digunakan untuk majlis perkahwinannya nanti. "Su, mak sudah tempahkan gaun untuk Su pakai semasa bersanding nanti. Mak nak Su pakai baju tu. Mak nak anak mak nampak cantik!"kata ibunya. Su tergamam. Apa kata Hilmi nanti. Su dalam dilema. Su keberatan untuk mengenakan gaun yang menampakkan susuk tubuhnya nanti. Dia tidak pernah memakai pakaian seperti itu. Ya, seingatnya hanya sekali dia pernah memakai gaun. Itupun semasa dia kecil. Belum mengerti apa-apa. Su lebih selesa dengan jubah dan tudung labuhnya. Dia sudah sebati kerana sejak dibangku sekolah lagi dia sudah berpakaian sebegitu. Lagipun sebagai amirah dalam gerakan jemaah kampus, dia sememangnya memperjuangkan pakaian sepertinya.

Petang itu, Su masih menjahit tirai. Tapi hatinya tidak segirang sebelum ini. Permintaan ibunya sangat berat baginya. "Su, apa salahnya Su pakai sekali ini je. Sekali seumur hidup. Su tak nak nampak cantik ke?"tambah kakaknya. Dalam keluarga Suhana, hanya dia seorang sahaja yang bertudung labuh dan jubah. Su bertambah serba salah. Su belum berbincang dengan Hilmi tentang permintaan ibunya. Su ingin mengambil masa untuk berfikir. Kalau diikutkan hati, dia memang tidak mahu mengikut kehendak ibunya tapi perasaan kasihan pada ibunya menyebabkan dia rasa lemah.

Dilema muslimat...
Cerita diatas mungkin pernah dialami oleh segelintir muslimat jemaah. Antara kehendak agama dan kehendak nafsu kadang-kadang mereka gagal dalam membuat pilihan. Apatah lagi desakan dari keluarga dan mungkin juga dari mak andam. Maka terjadilah perbuatan yang kadang-kadang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Pernah dalam satu peristiwa benar, seorang yang dikatakan kuat jemaah, tiba-tiba tampil dengan gaun ikut tubuh, kening bercukur, solekan yang agak keterlaluan dan tudung labuh yang hilang entah kemana. Adakah ini konflik dalam penafsiran "berhias untuk suami".
Pada hemat saya, pada hari keramaian, muslimat tidak perlulah terlampau dalam solekan. Cukuplah sekadarnya. Kerana pada hari tersebut bukan suami sahaja yang ada tapi juga mahram-mahram lain. Tetapi jika hanya ahli keluarga sahaja tak menjadi masalah. Berhias untuk suami biarlah ketika bersama suami. Untuk memikat hati suami. Kerana bila diluar rumah dibimbangi akan menimbulkan fitnah. Maksud fitnah ini juga perlu difahami. Kalau seorang lelaki menggoda muslimat atau tertarik dengannya disebabkan perhiasan dan solekannya maka itu adalah fitnah. Jika si suami cemburu juga adalah fitnah. Jadi sebagi seorang muslimat die haruslah menjaga dari fitnah ini. Elakkan dari punca fitnah.
Dalam hal ini, peranan muslimin iaitu bakal suami amatlah penting. Muslimin tersebut haruslah bertegas dengan hikmah supaya perkara-perkara yang tak diingini tidak berlaku. Ingat peranan suami seperti yang telah dijelaskan oleh Allah dalam firmannya "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari bakaran api neraka". Jadi seorang bakal suami perlulah menjaga keluarganya sejak dari selepas ijab kabul sehinggalah akhir hidupnya. Semoga tulisan ini memberi kebaikan kepada pembacanya. Ya Allah berikanlah kekuatan padaku agar terus istiqamah.amin.

0 ulasan:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Dresses. Powered by Blogger